SEBAGAI seorang muslim sekaligus beriman dengan apa yang telah diajarkan kepada kita melalui perantara Rasul yang mulia, seharusnya kita cepat peka serta sensitif terhadap apa jua permasalahan berkaitan Addinul Islam.
Walaupun karier sebagai doktor, peguam, arkiktek atau sektor korporat menjadi profesion namun sama sekali tiak boleh kita jadikannya alasan mengapa kita tidak mampu menerajui kepemimpinan mendaulatkan kandungan al-Quran serta Sunnah Rasul dalam sesebuah pentadbiran.
Dalam surah Al-Maidah ayat 44 yang bermaksud:
"Barangsiapa yang tidak menghukum sesuatu berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." Perlu diingat, walau langit mana sekalipun kita terokai, walau bumi mana sekalipun kita jelajahi, walau lautan mana sekalipun kita renangi, namun kita tetap merupakan hamba kepadaNya.
Begitu juga dalam mengedalikan setiap amanah yang diberi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyisihkan intipati al-Quran dan Sunnah dalam apa jua amalan duniawi maupun ukhrawi. Surah Al-Maidah itu jelas menyatakan barangsiapa menghukum atau mereka cipta enakmen undang-undang selain yang telah Allah perintahkan maka mereka termasuk golongan orang-orang yang kafir.
Segelintir masyarakat kita hari ini mungkin masih tidak mengetahui dan keliru dengan diri masing-masing. Bagi yang berpendidikan aliran agama atau individu yang giat mengikuti kelas pengajian serta aktif dalam jemaah, hadaf atau tujuan kita diutus ke dunia jelas dan nyata. Kesedaran yang mendalam ke arah pentingnya mengubah diri dan masyarakat sekitar adalah tanggungjawab semua.
Namun, tiada gunanya juga andai masyarakat telah sedar tapi kepala negara masih di awangan, tidak berpijak di bumi nyata. Fikrah yang menjadi teras sesebuah pemerintahan serta didokong dan disepakati amat penting dalam memastikan keamanan, keharmonian, kesejahteraan milik bersama.
Mari kita renungi bersama firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:
"Tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang Khalifah." Dalam surah Az-Zariyat ayat 56 bermaksud: "Tidaklah Aku menjadikan Jin dan Manusia itu melaikan untuk beribadat dan menyembah Ku."
Jika dibuat perbandingan, Umara' lebih berpengaruh serta lebih dihormati lantaran gelaran ketua yang tersangkut di bahunya. Ulama' pula berperanan selaku orang kedua yang sentiasa mengiringi Umara' dalam apa jua aspek terutama sekali sebagai penasihat terulung.
Memang serasi antara kata Umara' serta Ulama' saling bantu membantu, faham memahami serta bertolak ansur dalam menangani permasalahan negara yang dipimpin. Kini, apa yang berlaku umpama langit dan bumi.
Biarpun Umara' sentiasa diapit Ulama' namun kita masih tidak dapat memastikan sejauh mana Ulama' berjaya menasihati Umara' dalam menyelesaikan konflik negara. Ibarat nakhoda sesebuah kapal, apa sahaja kata yang terbit darinya pasti itulah hitam putih seluruh rakyat jelata.
Sebelum meneruskan perbincangan dua karektor Umara' dan Ulama' ini, renungilah dahulu sabda junjungan besar Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang bermaksud:
"Dua jenis manusia; bila dua jenis manusia ini baik, maka baiklah sekalian manusia. Andai dua jenis manusia ini jahat, maka semua manusia itu jadi buruk (dua golongan yang dimaksudkan) iaitu ulama' dan umara'- ulama' ialah orang yang berilmu, manakala umara' ialah pemimpin.
"Tanggungjawab, amanah yang dipikul oleh setiap pemimpin pasti tidak terlepas untuk disoal di akhirat kelak. Sehingga kini kita masih lagi tidak menyedari kebenaran yang telah dijanjikan Allah pada kita. Setiap gerak hati terlintas menjadi perkiraan. Niat yang baik mendapat ganjaran sebelum perbuatan manakala niat yang buruk tertangguh sebelum segala amalan terlaksana.
Dalam mengejar kemewahan, kekayaan serta kesenangan, amanah yang diberi automatik terpinggir sendiri. Tanpa rasa berdosa menyalahgunakan kepercayaan rakyat untuk meningkatkan penampilan diri. Jika difikir secara lebih mendalam dan rasional, golongan seumpama ini telah menebalkan muka dihukum setimpal dengan penyelewengan yang mereka kehendaki.
Umara' yang baik sentiasa ingat akan dosa jika tersalah membuat perhitungan. Mereka lebih takutkan Allah serta amanah yang diberi dari sibuk mengecap kesenangan dunia. Mereka sedar janji Allah adalah benar dan walau sezarah pun akan tetap diambil kira. Begitu juga dengan Ulama'.
Mereka bukan sahaja berperanan dalam membaiki kelemahan serta menampal kerosakan dalam pemerintahan, bahkan mereka termasuk golonmgan paling berat tanggungan di akhirat. Mengapa? Tentu sekali kita tahu bahawa selangkah sebelum kaki menjejak pintu Syurga kita ditanya tentang sejauh manakah telah terlaksana pengajaran dalam menyedarkan masyarakat pentingnya beragama dalam kehidupan. Andai masih ada golongan yang tidak memahami, maka kita akan terlewat dalam menikmati aroma syurgawi.
Justeru itu, mulai saat dan tika ini kita haruslah menanam keinsafan dan berusaha membina keyakinan dalam merealisasikan Islam dalam amalan seharian. Usah sesekali mengamalkan Islam sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Tenik yang telah pihak musuh rencanakan dalam menghancurkan Islam perlu kita ketahui untuk memudahkan kita mencari inisiatif lain menyerang balas kekejaman mereka.
Semoga segala niat baik akan mendapat pengiktirafan dari Allah dan akan dapat membantu kita menangani mereka berpandukan apa yang yang telah Rasulullah s.a.w. praktikkan di waktu lalu. Setiap usaha berlatar belakangkan kalimah Tauhid yang suci tetap memperoleh kejayaan, walau bukan di dunia pasti di akhirat kita tak akan hampa, insya`allah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan